Mulai Saat Ini,Tun M Laung Amaran Pertama, Ketua Jabatan Yang Ada Salah Guna Kuasa Bakal Disingkir

Perdana menteri ketujuh yang baru mengangkat sumpah jawatan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beberapa ketua jabatan di agensi kerajaan akan ditamatkan perkhidmatan.

Tun Mahathir berkata, tindakan ini harus dilakukan kerana ada antara mereka yang dikaitkan dengan salah guna kuasa.”Beberapa ketua jabatan mesti digugurkan, kami mendapati sesetengah mereka yang dikaitkan dengan perdana menteri sebelum ini yang mana disifatkan oleh dunia sebagai kleptokrat (penipu).

“Kami berjanji akan membentuk kerajaan yang baik berdasarkan perlembagaan dan undang-undang yang akan membimbing kami sepanjang pentadbiran,” katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi perdana menteri, malam Khamis.

Ketika ditanya tentang tempoh perkhidmatannya sebagai seorang perdana menteri kali ini, Dr Mahathir berkata, beliau akan memegang jawatan tersebut selagi khidmatnya diperlukan, namun tidak terlalu lama.

“Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kabinet baharu. Saya rasa saya ada pengalaman dan kerajaan mungkin memerlukan pengalaman saya. Saya akan kekal selagi mana saya diperlukan, tapi tidak terlalu lama,” ujarnya.

Menurut beliau, PH akan mengadakan mesyuarat dalam kalangan majlis presiden parti tersebut pada Jumaat untuk membincangkan tentang pembentukan kerajaan.

“Walaupun saya perdana menteri, saya perlu mempertimbangkan pendapat daripada parti komponen.

“Tentang bagaimana kami membahagikan jumlah menteri antara kami,” kata Dr Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi membincangkan pembentukan barisan Kabinet baharu, pagi ini.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut dijangka diadakan pada pukul 10 pagi di ibu negara.

Beliau berkata, walaupun mempunyai kuasa mutlak untuk melantik secara terus barisan Kabinet namun berpandangan suara semua presiden parti perlu diambil kira.

Esok (Jummat) cuti tetapi saya tidak bercuti kerana perlu mengadakan perbincangan untuk membentuk Kabinet iaitu pembahagian menteri.

“Selain itu, beberapa perkara lain juga perlu dilakukan antaranya melibatkan perkara rasmi dan berkaitan polisi,” katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.

Ketika ditanya sama ada ketua-ketua jabatan sedia ada akan dirombak, Dr. Mahathir memberitahu, sesetengahnya akan digugurkan kerana didapati bersekongkol dengan kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, mengulas tentang manifesto, beliau memberitahu pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan setiap inisiatif yang dirangka termasuk pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menstabilkan harga minyak akan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

Menjelaskan tentang perancangan masa depan negara pula, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan memberi fokus terhadap kewangan negara dan pengurusan ekonomi.

Malah beliau turut komited untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mesra perdagangan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara. –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *