Datuk Seri Anwar menonton mengangkat sumpah Perdana Menteri disuatu lokasi yang dirahsiakan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berharap agar keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim melupakan perkara yang lepas, dan sebaliknya menumpukan usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Berucap sejurus dinamakan calon Perdana Menteri pilihan gabungan empat parti pembangkang itu, Dr Mahathir berkata, beliau sedar tekanan yang dialami keluarga ketua umum PKR itu, namun beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kesanggupan menerimanya semula.

“Di masa saya memerintah (1981-2003 sebagai Perdana Menteri ke-4), dia (Anwar) dihantar ke Sungai Buloh. Bukan mudah baginya untuk menerima saya.

“Bukan sahaja Anwar, malah keluarganya tentu merasai tekanan apabila Anwar dimasuk dalam tahanan. Mereka menderita selama 20 tahun dan untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah buat keluarga Anwar,” katanya sewaktu berucap di penghujung Konvensyen Pakatan Harapan, di Shah Alam hari ini.

Namun, Dr Mahathir berkata, beliau terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sanggup bekerjasama dengan pasukan, termasuk dirinya sendiri, dalam apa yang mereka anggap sebagai ‘usaha’ menyelamatkan negara ini.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar
atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Namun, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar hari ini berkata, Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun ini berdasarkan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000, 1/3 remitan daripada hukuman diberikan kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut bersetuju menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sejurus selepas gabungan itu mendapat mandat rakyat selepas PRU14 nanti.

Perkara itu diumumkan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah sewaktu membaca dokumen resolusi konvensyen yang dikenali sebagai Muafakat Pakatan Harapan.

Turut diumumkan, langkah Pakatan Harapan untuk membebaskan Anwar segera melalui permohonan Pengampunan Diraja, serta pengagihan 165 kerusi parlimen Semenanjung untuk empat parti itu.

Dalam sidang media kemudiannya, ketika ditanya sama ada beliau akan memegang jawatan itu untuk tempoh penuh lima tahun, Dr Mahathir berkata, beliau sudah pun berumur 93 tahun.

Ditanya sama ada 165 kerusi itu sudah cukup bagi Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional, Dr Mahathir berkata ia sebenarnya berkemungkinan.

Namun, tambahnya lagi, perlu juga rundingan berterusan dengan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dalam menentukan jumlah sebenar pengagihan 222 kerusi parlimen.

“Kita punyai 165 kerusi, ia sebenarnya berkemungkinan untuk kita memenangi pilihan raya tanpa memerlukan kita bergantung kepada mereka (di Sabah dan Sarawak), tetapi kami tetap mahu bekerjasama dengan mereka,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *